Links

INTRO...

Thursday, July 15, 2010

REJAB: Israk Mikraj & Sebuah Malapetaka



Setidaknya ada dua peristiwa besar di bulan Rejab ini.


Pertama: Peristiwa Israk Mikraj yang terjadi tanggal 27 Rejab.


Peristiwa yang terjadi sekitar 14 abad lalu ini diabadikan dalam al-Quran dalam Surah Al-Israk ayat 1: "Maha Suci (Allah) yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjid Al-Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya.."

Pada saat itu Baginda Nabi Muhammad SAW diberi sebuah keistimewaan dijalankan oleh Allah dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid Al-Aqsa di Al-Quds (Palestin), lalu dilanjutkan dengan menembus lapisan langit tertinggi (Sidratul Muntaha). Semua itu ditempuh dalam sehari-semalam. Peristiwa itu begitu istimewa. Kerana itu, hampir setiap tahun, tanggal tersebut dijadikan momentum oleh sebahagian kaum Muslim untuk mengadakan Peringatan Israk Mikraj.


Kedua: Peristiwa Keruntuhan Khilafah Islamiyah yang terjadi pada 28 Rejab 1342 Hijrah, 89 tahun yang lalu.


Berbeza dengan Israk Mikraj yang memang merupakan peristiwa besar yang dialami Baginda Nabi SAW dan diabadikan al-Quran, keruntuhan Khilafah adalah peristiwa yang dianggap 'tidak terlalu penting' oleh kaum Muslim. Padahal peristiwa tersebut berhubung dengan salah satu warisan yang ditinggalkan Baginda Nabi saw. Ya, Khilafahlah penerus sistem pemerintahan Islam yang asas-asasnya dibuat dan dipraktikkan Baginda Rasulullah SAW saat beliau memimpin Daulah Islam di Madinah.

Sebagaimana kita ketahui, tidak lama setelah peristiwa Israk Mikraj (hanya sekitar setahun), terjadi peristiwa besar yang juga tidak boleh dilupakan kaum Muslim, iaitu peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW bersama kaum Muslimin ke Madinah. Peristiwa ini tentu penting kerana menjadi tonggak pertama tegaknya Daulah Islam yang dipimpin langsung oleh Nabi Muhammad SAW sebagai Rais Ad-Daulah (pemimpin negaranya). Sejak daripada peristiwa Nabi Muhammad SAW mendirikan Daulah Islam di Madinah, kaum Muslimin memiliki sebuah institusi negara yang menjadi pelayan, pembela dan pelindung mereka. Melalui Daulah Islam pula hukum-hukum Islam diterapkan dalam seluruh aspek kehidupan dan Islam disebarluaskan ke seluruh penjuru dunia dengan dakwah dan jihad.

Setelah Nabi Muhammad SAW wafat, kepemimpinan negara kemudian beralih ke tangan Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah (pemimpin negara) pertama. Khalifah Abu Bakar RA mengawal era Khulafa Ar-Rasyidin. Sejak itu era kekhilafahan Islam bermula. Era Khulafa Ar-Rasyidin kemudian berakhir, lalu digantikan oleh era Khilafah Umayyah. Era Khilafah Umayyah kemudian diganti oleh era Khilafah Abbasiyyah. Selanjutnya, era Khilafah Abbasiyyah diganti oleh era Khilafah Uthmaniyah. Sayang seribu kali sayang, era Khilafah Uthmaniyah ini berakhir dengan sebuah tragedi menyayat hati kerana diruntuhkan oleh tangan-tangan penjajah Barat, iaitu Mustafa Kamal Attaturk laknatullah, tepat tanggal 28 Rejab, 89 tahun yang lalu. Inilah yang menandai peristiwa penting kedua di bulan Rejab.

Kerana itu, selain diingatkan dengan peristiwa Isra’ Mikraj, bulan Rejab juga memberikan kesempatan bagi kaum Muslimin untuk merenungkan kembali kewajiban mereka terkait dengan sebuah usaha untuk menegakkan kembali Khilafah Islamiah yang telahpun runtuh sejak 89 tahun yang lalu itu.